Monday, February 9, 2009

Jee Suka Topeng Muka

Sumber : Kosmo!

Status ibu tunggal tidak menghalang Fauziah menjalani kehidupan yang gembira dengan sokongan dua puteranya.

SUARA yang lunak, wajah yang jelita dan bibir yang sentiasa mengukir senyuman cukup senama dengan Fauziah Latiff, 38, atau lebih mesra dengan panggilan Jee.

Melahirkan lebih 16 buah album sejak tahun 1988 dengan album pertamanya, Digamit Memori dan yang terbaru, Pesona, Jee merupakan seorang penyanyi yang tidak pernah kenal erti penat.

Walaupun bergelar ibu tunggal pada usia muda, Jee reda dengan takdir kehidupan yang ditentukan oleh Tuhan buatnya.

Jee mengakui dia gembira dengan kehidupannya yang dikongsi bersama dua permata hati, Jeffry Joaquim Indot, 10 dan Jeremy Jay Indot, 8.

Penyanyi, pelakon dan jurucakap jenama kosmetik SK-II itu meluangkan sedikit masanya dalam satu temu bual ringkas bersama Kosmo! pada majlis pelancaran produk terbaru SK-II, di ibu kota, baru-baru ini.


Kosmo!:Boleh ceritakan rutin harian Jee kini?

Jee: Saya gembira dengan kehidupan saya sekarang. Saya memiliki rumah, kereta dan anak-anak untuk menemani saya setiap hari. Saya bersyukur. Pada saya wanita perlu kuat walaupun berdepan dengan apa sahaja rintangan dan dugaan.

Jika sebelum ini, Jee aktif dengan bermain jet ski dan kick boxing, apakah 'cinta' terbaru Jee?

Sudah lebih 20 tahun saya bekerja, Jadi sekarang adalah masa bagi saya untuk menikmati hidup. 'Cinta' terbaru saya adalah menunggang motosikal kuasa besar. Ini kerana, saya suka mesin dan kelajuan. Pada masa yang sama, saya meluang dan menghabiskan masa untuk aktiviti menyelam. Aktiviti menyelam pula memberikan saya peluang untuk mengenali keindahan hidupan lautan. Malah, menyelam juga mampu memberikan tenaga positif.

Di mana kali terakhir Jee menyelam?

Kali terakhir saya menyelam bersama anak-anak Jeffry dan Jeremy di Pulau Tioman tahun lalu. Saya mula menyelam sekitar tahun 2000 dan mendapati dasar laut kita sangat cantik. Jadi, sebagai penyelam kita dapat menemui hidupan baru di tempat yang berbeza. Setiap kali menyelam, saya akan menimba satu pengalaman baru.

Bagaimanakah Jee menjaga kulit wajah apabila sentiasa sibuk?

Rasanya kulit saya lebih tua daripada usia kerana faktor kerja yang panjang dan memakai alat solek lebih lapan jam. Saya sentiasa risau dengan keadaan kulit. Ditambah pula dengan aktiviti menyelam. Namun, dengan rangkaian produk penjagaan kulit SK-II, saya dapat melakukan pelbagai aktiviti tanpa rasa bimbang.

Apakah produk kegemaran Jee dalam rangkaian kosmetik tersebut?

Saya sudah menggunakan produk SK-II selama 12 tahun dan telah mencuba hampir kesemua produknya dan amat menyukai topeng muka. Bagi saya topeng mukanya mudah digunakan dan boleh dipakai pada waktu malam sehingga keesokan hari.

Tuesday, February 3, 2009

Dengarnya... Gelora Di Hati Sara Akan Kembali Lagi

Sumber : Berita Harian

ATAS sambutan dan maklum balas baik penonton dan stesen RTM, drama Gelora Di Hati Sara yang menggandingkan Rosyam Nor dan Fauziah Latif (Jee) akan menemui penonton lagi untuk musim kedua.

Kawan Cik Normah dapat cerita ini pun semasa berjumpa dengan Rosyam Nor baru-baru ini semasa dia terbabit di karnival amal, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di Buzz-R, Amcorp Mall.

Baguslah kalau ada sambungannya lagi sebab Cik Normah pun antara peminat setia drama ini. Cuma kadang-kadang dek tugasan di pejabat, Cik Normah sudah terlepas beberapa episod. Malah episod akhir pun Cik Normah tak sempat tengok. Kalau RTM boleh ulang siar lagi drama ini, Cik Normah setuju sangat-sangat. Cik Normah yakin takkan ada yang bantah. Betul tak?

Nampaknya gandingan Rosyam dan Jee benar-benar menjadi dan tak salah percaturan Rosyam mengajak Jee berlakon. Apa yang Cik Normah perhatikan, Jee mempunyai bakat lakonan yang semula jadi dan jika digilap lagi, Jee mampu memberikan saingan kepada pelakon wanita di Malaysia. Sebelum ini pun, Rosyam berjaya mencipta gandingan yang sentiasa diingati contohnya, dia dengan Rita Rudaini, Rozita Che Wan dan Eja.

Kawan Cik Normah beritahu lagi, jika tiada aral melintang, penggambaran drama ini bagi musim kedua akan bermula pada Jun ini. Beberapa bulan lagi, insyaAllah kalau sudah selesai, kita boleh menonton kesinambungannya lagi.

Rosyam tak nak ajak Cik Normah berlakon ke? Manalah tahu kot, gandingan kita berdua meletup. Haa... siapa yang rugi. Rosyam juga kan!

Thursday, January 29, 2009

Jee : Mesin dan Kelajuan

Sumber : Kosmo!

HIDUP sebagai ibu tunggal bukan sesuatu yang diharapkan oleh kaum wanita. Namun, jika itu yang sudah menjadi takdir, kita perlu menerima aturan dan suratan takdir.

Bagi Fauziah Latiff atau lebih dikenali sebagai Jee, dia juga berdepan dengan masa depan tanpa bekas suaminya, Johan Indot, 48, di sisi.

Jee yang sudah hampir tiga tahun bersendirian sudah pun belajar untuk menguruskan hidupnya seorang diri dan bersyukur dengan apa yang dinikmati hari ini. Maka, buat masa ini dia belum mempunyai sebarang niat untuk menerima cinta baru dalam hidupnya.

"Saya bukannya muda lagi. Usia saya akan menjangkau 40 tahun tidak lama lagi. Selepas melalui pelbagai dugaan, saya tidak kisah kalau hidup bersendirian.

"Kalau ada jodoh, baguslah. Kalau tidak ada pun saya tidak kisah. Saya gembira dengan kehidupan saya sekarang. Saya memiliki rumah, kereta dan anak-anak untuk menemani saya setiap hari.

"Saya bersyukur dengan hidup ini dan pada saya wanita perlu menjadi kuat walaupun berdepan dengan apa sahaja rintangan," katanya pada majlis mengumumkan Jee sebagai jurucakap produk kecantikan SK-II untuk 12 tahun berturut-turut.

Hidupnya kini dihabiskan dengan minat terbaru iaitu menunggang motosikal kuasa besar dan menyelam. Dia menunggang motosikal kerana menyukai mesin dan kelajuan.

Aktiviti menyelam pula memberikan dia peluang untuk mengenali dan mempelajari keindahan hidupan lautan. Malah, menyelam juga mampu memberikan tenaga positif kepada dirinya.

"Sudah lebih 20 tahun saya bekerja. Jadi sekarang adalah masa bagi saya untuk menikmati hidup. Saya mula menyelam sekitar tahun 2000 dan mendapati laut kita juga cantik. Jadi tidak kira di mana, kita sebagai penyelam dapat menemui hidupan baru di tempat berbeza.

"Namun, saya cuma tahu mengenai batu karang yang asas sahaja. Jadi setiap kali menyelam adalah satu pengalaman baru. Kali terakhir saya menyelam adalah bersama anak-anak saya, Jeffry Joaquim Indot, 10, dan Jeremy Jay Indot, 8, di Pulau Tioman pada tahun lalu," tambah Jee yang merupakan duta Coral Malaysia.

Selain daripada aktiviti riadah, Jee juga sibuk dengan tugasan sebagai ibu terutama selepas kedua-dua anaknya kembali bersekolah. Maka, Jee mengambil keputusan untuk berehat seketika dalam dunia lakonan serta nyanyian.

"Muzik masih menjadi keutamaan saya. Tetapi masih belum ada sebarang perancangan untuk merakamkan album baru. Saya juga telah menolak banyak tawaran berlakon kerana mahu berehat," tambahnya lagi.

Pernah terlibat dalam drama Gelora Di Hati Sara, Jee berpendapat dirinya masih lagi baru dalam dunia lakonan dan memerlukan lebih banyak masa untuk belajar.

"Lakonan adalah seperti tadika buat saya. Maka, saya perlu banyak belajar daripada mereka yang senior. Apa yang saya pelajari semasa berada di lokasi penggambaran lebih sebulan adalah nilai komitmen dan tanggungjawab.

"Namun, saya tidak mahu terlalu mendesak untuk bergelar seorang pelakon yang diterima ramai. Saya mahu lakukannya secara berperingkat kerana untuk dikenali sebagai pelakon hebat bukannya satu perkara muda," jelasnya yang anggun dalam gaun ungu.

Selesa sebagai jurucakap SK-II

Sudah menggunakan produk SK-II selama 12 tahun, Jee telah mencuba hampir kesemua produknya dan amat menyukai topeng muka. Baginya, topeng muka ini mudah untuk digunakan dan boleh dipakai pada waktu malam sehingga keesokannya.

"Pada mulanya saya memang mempunyai masalah dengan kulit saya tetapi bukannya terlalu teruk. Cuma kulit saya agak berminyak dan warnanya tidak sekata. Saya berasa sedih, marah dan risau dengan keadaannya. Namun, selepas menggunakan produk ini, ramai orang yang tertanya-tanya apa yang saya lakukan terhadap kulit saya. Inilah jawapannya,"ujarnya.

Menyatakan kulitnya lebih tua daripada usia kerana faktor kerja yang memerlukan masa yang panjang di luar dan memakai alat solek lebih daripada lapan jam, Jee sentiasa risau dengan keadaan kulitnya.

"Kini ditambah lagi dengan aktiviti menyelam, saya perlu lebih berhati-hati. Nasib baik dengan rangkaian penjagaan kulit ini, saya boleh menyelam tanpa perlu merisaukan kulit saya," tambahnya yang menasihatkan kaum lelaki juga perlu menjaga kulit mereka.

Sunday, January 18, 2009

Fauziah Latiff Bajrai

Sumber : Harian Metro

KEPADA sesetengah pelayar laman Facebook (FB) yang terserempak dengan nama Fauziah Latiff Bajrai. Daripada nama belakang Fauziah atau Jee itu, ramai membuat telahan serta spekulasi yang artis ini kononnya sudah berkahwin dengan seseorang keturunan Bajrai yang kaya raya.

Tidak kurang juga yang menghubungi CAK untuk bertanya hal itu. Bagi memastikan kesahihannya, CAK menghubungi Jee bertanyakan hal itu.

Lantas kedengaran gelak tawa Jee tatkala diajukan soalan itu kerana CAK bukan orang pertama yang ingin tahu. Malah, rakan baiknya turut hairan dengan penambahan nama Bajrai di belakang namanya. Kononnya itu nama keluarga sebelah ‘suaminya’.

Sebenarnya bukan Jee bernikah dengan sesiapa, malah masih solo hingga ke hari ini. Nama Bajrai diambil daripada sebelah keluarga bapanya — Sheikh Abdul Latiff @ Abdul Talib Omar Bajrai.

Katanya, nama itu sudah ada sebelum dia lahir lagi, tetapi selama ini tidak diletakkan di belakang nama keluarga.

Bagaimanapun, kebelakangan ini Jee berbuat begitu dengan tujuan dengan harapan keluarga ‘jauh-jauh’ atau salasilah keturunan Bajrai dapat menghubunginya. Dia percaya dengan FB yang digunakan di seluruh dunia.

Bajrai atau Bajerai adalah nama keturunan dari Amman dan Arab Saudi. Sehingga kini, Jee memperoleh beberapa ‘keluarga’ Bajrai dari Amman yang menghubunginya.

“Ini sejarah keluarga,” katanya.

Sunday, January 11, 2009

Fauziah Latiff : Lakonan vs Nyanyian

Sudah lama rasanya blog ni sepi tanpa cerita Kak Jee... Yer la.. saya bukan jiran Kak Jee untuk update cerita terbaru Kak Jee... satu njer yang saya tahu.. saya peminat No 1 Kak Jee dari umur 6 tahun sampai la sekarang.. hehehe... bangga plak rasanya...

Ok la... Gelora Di Hati Sara dah abis.. so hidup aku n peminat Kak Jee rasanya dah sunyi balik... lakonan mantap Kak Jee tak boleh disangkal... walau masih baru.. Kak Jee memang berbakat... sampai kawan2 saya yang sebelum ni tak nak tengok cerita GDHS.. jadik fan no 1 cerita tu... sampai dieorang kesian ngan watak Kak Jee yang bekorban untuk suami.. hahaha.. tengokla penangan Kak Jee...

Nyanyian vs lakonan??? yang mana satu keutamaan... rasa dua2 boleh jalan seiring... sebab??? Sebab die... peminat rindukan lagu baru dari Kak Jee... n album bukam keluar tiap2 bulan... setahun sekali.. atau pun lebih dari tu.. so,, dengan lakonan la.. Kak Jee mekar seiring lagu baru tiap-tiap tahun.. tul kan?? hehehe... saya ni.. hari2 baca suratkhabar utk tahu perkmbangan Kak Jee... tapi hampa la jugak.. tak keluar2 cerita baru Kak Jee...

Kalau Kak Jee Baca Blog ni... bagi la tau perkembangan Kak Jee.. saya tak kisah kalau blog ni jadik wadah untuk peminat Kak Jee untuk terus mencari perkembangan baru kak Jee...

Wednesday, December 3, 2008

Fauziah Latiff tidak berubah


Sumber : Kosmo
Oleh HARYATI KARIM

WAJAH yang manis, lembut tutur katanya dan penuh kesopanan. Itulah gambarannya apabila mengenali wanita bernama Fauziah Latiff atau lebih mesra disapa sebagai Gee.

Jika dulu dia pernah berada di puncak populariti menerusi kerjaya nyanyiannya, kini dia lebih banyak berdiam diri dan secara tiba-tiba membuat kemunculan semula sebagai pelakon di samping pelakon handalan Rosyam Nor.

Percubaan pertamanya menerusi telemovie Kudrat Iman menjadi, apabila drama tersebut diulang tayang sebanyak empat kali oleh pihak RTM dan kini dia muncul pula dengan drama bersiri terbaru berjudul Gelora Di Hati Sara.

Gee yang ditemui di majlis pratonton drama tersebut di Finas baru-baru ini menjelaskan perasaan terharunya apabila diberi peluang untuk menceburi dunia lakonan yang cukup asing baginya sebelum ini.

"Gee tak pernah berlakon, memang takut juga sebab kalau tidak menjadi susah juga, tetapi alhamdulillah dengan tunjuk ajar abang Rosyam dan pelakon lain saya dapat lakukannya.

"Dan bila saya lihat sendiri lakonan saya di skrin, saya gementar dan bimbang. Apa pun saya banyak belajar benda yang baru, dan saya sendiri dapat menilai tahap saya sekarang ini umpama budak di sekolah tadika dalam bidang lakonan," jelasnya.

Tambahnya, sungguhpun mendapat sokongan banyak pihak terutama peminatnya yang gembira dengan kerjaya barunya, namun, Gee tidak pernah sesekali menepikan cintanya terhadap bidang nyanyian.

"Gee tetap orang yang sama, tidak berubah. Kerjaya lakonan sekadar percubaan, kalau ada masa lapang baru saya buat, yang utamanya masih lagi nyanyian.

"Ini kerana masih banyak yang perlu saya belajar jika benar-benar mahu berada dalam dunia lakonan dan ia bukan satu perkara yang mudah. Saya harus mempelajarinya secara berperingkat, tidak seperti nyanyian yang sudah sebati dengan diri saya," ujarnya.

Ini bermakna, Gee tidak akan berubah angin untuk terjun ke dalam dunia lakonan kerana lakonan dilakukannya hanyalah jika mempunyai masa yang terluang saja.

"Lakonan dan nyanyian berbeza, kalau saya memilih untuk berlakon saya harus menolak semua tawaran nyanyian yang datang pada waktu yang sama, begitulah sebaliknya,

"Oleh itu, saya harus memilih salah satu dalam satu-satu masa. Hujung tahun ini saya menerima banyak tawaran nyanyian yang telah ditempah awal, kerana itu saya harus menolak mana-mana tawaran lakonan.

"Bukan saya tidak mahu berlakon lagi, tetapi saya berperang dengan masa. Sebagai orang baru dalam lakonan komitmen saya lebih tinggi daripada nyanyian, dan apabila bertembung saya harus memilih salah satu. Buat masa ini biarlah saya kekal dengan nyanyian dan lakonan hanyalah sekadar sambilan," terangnya.

Walaupun masih baru, bakat yang ditonjolkan cukup menyerlah dan mutu lakonannya dilihat boleh pergi lebih jauh apatah lagi, dia mendapat bimbingan Rosyam Nor yang setia memberi tunjuk ajar kepadanya.

"Dapat berlakon dan belajar dengan abang Rosyam, baru saya tahu kerja sebagai pelakon bukan perkara yang mudah walaupun dalam skrin nampak senang.

"Saya sendiri pernah kena marah dan tengking daripada abang Rosyam kerana lakonan tidak mengikut kehendaknya. Mula-mula tersentak juga, tetapi saya tahu dia marah untuk kebaikan saya juga dan saya ambil sebagai pengajaran," tuturnya lagi.

Perang cinta, bapa dan anak

Berbicara tentang drama terbarunya Gelora di Hati Sara, Gee memberitahu, walaupun dikelilingi pelakon berpengalaman dan pernah berlakon dalam sebuah drama, tetapi perasaan gemuruhnya masih lagi menebal dalam diri sementelah dia memegang watak utama sebagai Sara.

"Sebagai orang baru, saya banyak buat silap dan suka sangat ketawa, jadi bila pelakon lain sudah dalam mood watak mereka, saya pula yang masih tercari-cari mood.

"Itu yang menyebabkan saya tertekan kerana ingin buat yang terbaik dan tidak mahu menyusahkan pelakon lain kerana kelemahan saya," katanya.

Menurut Rosyam pula, dalam banyak-banyak adegan yang terdapat dalam drama ini, adegan romantik antaranya dan Gee sebagai pasangan suami isteri antara paling sukar untuk dilakukan Gee.

"Dia seorang yang cukup pemalu, bila berada di harapan orang ramai dan kena buat pula babak romantik, dia jadi serba tidak kena.

"Saya faham dia ramai peminat dan dia sebelum ini pun dia tidak pernah bergambar mesra dengan mana-mana artis lelaki, inikan pula berlakon, lagilah sukar untuknya.

"Tetapi akhirnya dia boleh lakukan juga selepas diyakinkan yang peminatnya akan memahami yang ini hanyalah lakonan semata-mata," ujar Rosyam lagi.

Tambah Rosyam, drama 26 episod ini penuh dengan konflik keluarga, cinta dan perasaan, bakal mengundang emosi terhadap penontonnya terutamanya buat peminat setia Gee.

Drama yang diterbitkan oleh Suhan Movies ini mengisahkan Sara (Gee) dan Asrul (Rosyam) berkahwin di luar negara ketika belajar dan sekembalinya mereka ke Malaysia, mereka harus menyembunyikan perkahwinan kerana bimbang akan mengejutkan ibu Asrul yang sedang sakit.

Dan dalam masa yang sama, bapa Asrul, Datuk Taufik (Datuk Rahim Razali) pula telah jatuh cinta kepada Sara yang ketika itu secara kebetulan bertugas sebagai peguam syarikat milik keluarga Asrul.

Selain Gee dan Rosyam, drama ini turut dibintangi oleh Aida Radzwill, Datuk Rahim Razali, Hisham Ahmad Tajudin, Watie Sadali, Ismail Yaacob dan Balkish Samundurkhan.

Buat mereka yang ingin menyaksikan kesudahan drama ini jangan lupa saksikan Gelora Di Hati Sara setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis di Slot Astaka, 10.30 malam di RTM1.

Friday, November 21, 2008

Gelora Di Hati Jee


Fauziah digandingkan lagi dengan Rosyam Nor selepas telefilem Kudrat Iman mendapat sambutan

KEMUNCULAN Fauziah Latiff sebagai pelakon semakin mendapat perhatian daripada penonton menyebabkan produser menjadikan penyanyi ini menjadi antara sebahagian daripada barisan pelakon dalam produksi mereka.

Selepas mempamerkan lakonan yang baik dalam telefilem Kudrat, Fauziah atau Jee sekali lagi ditawarkan oleh Rosyam Nor ynag membintangi drama bersiri Gelora Di Hati Sara.

Drama menarik ini disiarkan menerusi slot Astaka di RTM1, jam 10 malam setiap Selasa, Rabu dan Khamis, bermula malam ini.

Plot cerita Gelora Di Hati Sara ini berlegar mengenai kisah cinta dan kekeluargaan yang menuntut pengorbanan wanita dalam mengecap kebahagiaan dalam rumah tangganya.

Selain Jee dan Rosyam, drama 26 episod ini turut mengetengahkan Datuk Rahim Razali, Aida Radzwill, Hisham Ahmad Tajudin, Watie Sadali, Ismail Yaacob, Mahmud Ali Basha dan Balkish Samundur Khan.

Jee memegang watak utama sebagai Sara dan digandingkan Asrul lakonan Rosyam.

Drama bersiri Kisah Gelora Di Hati Sara bermula dengan kepulangan Asrul dan Sara yang baru menamatkan pengajian dari luar negara ke Malaysia. Di luar pengetahuan keluarga masing-masing, mereka sebenarnya sudah bernikah namun perkara itu terpaksa disembunyikan kerana bimbang sikap keluarga Asrul terutama ibunya, Datin Maria yang tidak suka anak berkahwin dengan pilihan sendiri. Apatah lagi ibunya menghidap penyakit jantung.

Asrul meminta Sara bersabar dengan situasi mereka itu yang terpaksa menjalani kehidupan suami isteri secara sembunyi. Namun kesabaran Sara ada hadnya apatah lagi apabila membayangkan tempat isteri adalah di sisi suami. Sara mula mencari jalan bagaimana mahu mendampingi Asrul. Kebetulan syarikat keluarga Asrul berdepan dengan kes saman daripada sebuah syarikat pelanggan.

Hinggalah Sara dilantik syarikat bapa Asrul, Datuk Taufik untuk mengendalikan kes itu. Kehadiran Sara itu mengejutkan Asrul yang begitu bimbang Sara akan membongkar rahsia perkahwinan mereka. Sebaliknya Sara bersikap selamba dan hanya menjalankan tugas yang diamanahkan.

Dalam diam, Diana adik perempuan Asrul turut menyembunyikan rahsia konflik yang berlaku dalam rumah tangganya bersama Zaidi. Zaidi pula ialah menantu pilihan Datin Maria. Namun malang bagi Diana, apabila Zaidi suka menderanya tetapi Diana takut untuk mengadu kepada keluarganya. Tambahan pula di depan keluarganya, Zaidi mempamerkan sikap sopan santun dan menyayangi isterinya itu.

Hakikatnya Zaidi yang diberikan kepercayaan menjawat jawatan penting dalam syarikat Datuk Taufik menggunakan kesempatan untuk mengaut keuntungan di belakang ayah mentuanya itu. Kehadiran Asrul dalam syarikat pula menimbulkan rasa kurang Zaidi kerana kegiatan jahat secara senyapnya terganggu. Begitu juga dengan kehadiran Sara yang ditugaskan Datuk Taufik menyelesaikan masalah syarikat.

Kejayaan Sara mengetepikan kes saman tersebut menggembirakan Datuk Taufik yang kemudiannya melantik Sara menjadi peguam syarikatnya. Dalam diam Sara menyimpan dua misi iaitu untuk mendampingi suaminya dan menyiasat sesuatu yang dirasakan tidak kena pada Zaidi.

Sementara itu, Datin Maria begitu beriya-iya mahu menjodohkan Asrul dengan Tengku Marina, anak Tengku Malik kenalannya. Perkara ini menimbulkan perasaan kurang senang di hati Asrul yang menempatkan dirinya dalam dilema kerana dia menyintai Sara sepenuh hati tetapi pada masa sama perlu memenuhi hasrat ibunya yang tidak sihat itu.

Datuk Taufik pula dalam diam menyimpan hati terhadap Sara. Perkara itu diberitahunya kepada Asrul. Asrul marah dengan tindakan ayahnya namun masih setia menyembunyikan statusnya dengan Sara daripada pengetahuan keluarganya itu.

Namun sampai bilakah rahsia itu berjaya disembunyikan?

Sumber : Berita Harian