Thursday, June 9, 2016
Fauziah Latiff kembali dengan Takdir Cinta
KUALA LUMPUR: Selepas enam tahun tanpa sebarang lagu baharu, Fauziah Latiff kini mampu tersenyum apabila beliau akhirnya tampil bersama single terkini berjudul Takdir Cinta.
Single terakhir penyanyi yang mesra disapa Jee ini ialah Ku Di Sini, yang juga lagu tema drama Gelora Di Hati Sara.
Dicipta oleh Sharon Paul dan liriknya pula hasil tulisan Fedtri Yahya, lagu baharu berkenaan dirakam penyanyi itu sekitar April lalu. Ia turut dipilih sebagai lagu tema drama siaran TV3, Seindah Takdir Cinta, lakonan Amyra Rosli, Saharul Ridzwan, Redza Rosli dan Ifa Raziah.
"Alhamdulillah, selepas sekian lama, saya muncul juga dengan single baharu. Tawaran merakamkan lagu berkenaan datang daripada penerbit drama itu sendiri, Fadzil Teh, dan saya berasakan ia memang kena pada masanya. Secara tidak langsung ia menjadi hadiah buat peminat yang selama ini tertunggu-tunggu lagu baharu daripada saya," katanya kepada BH Online.
Mengakui agak lama tidak melalui pengalaman merakamkan lagu di studio, Fauziah tidak menafikan perasaan gementar tetap menyelubungi diri. "Mujurlah Sharon sebagai komposer cukup profesional dan tahu apa yang diinginkan. Jadi, ia sedikit sebanyak memudahkan kerja. Pada masa sama, saya turut memaklumkan perkembangan rakaman lagu ini kepada Fadzil dan Fedtri. Saya perlu berbuat begitu kerana setiap pendapat diambil kira untuk memastikan hasil lagu ini memuaskan hati semua.
"Saat drama Seindah Takdir Cinta disiarkan pun, ramai yang memberi maklum balas positif terhadap lagu ini," katanya yang mengaku turut mengikuti drama berkenaan. Jee yang dijangka merakamkan video muzik lagu terbabit tidak lama lagi berkata, walaupun sudah lama tidak muncul dengan album studio, dunia nyanyian masih menjadi minatnya.
"Cuma saya sangat selektif ketika ini. Saya kena pilih lagu yang sesuai, begitu juga dengan lakonan. Insya-Allah, kalau kena dengan jalan cerita dan skripnya pula baik, saya pasti tidak menolaknya," kata Fauziah yang memilih untuk meluangkan waktu bersama keluarga sepanjang Ramadan.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/162052
Sumber : Berita Harian
Subscribe to:
Posts (Atom)