Sunday, October 12, 2008

Jee Bangkit Semula

Sudah dua tahun Suhan Movies merisik penyanyi wanita yang cukup popular pada era 1990-an ini untuk terbabit dalam projek drama dan telemovie

FAUZIAH Latiff atau cukup dikenali di kalangan orang industri hiburan dan peminatnya dengan panggilan Jee, punya alasan tersendiri mengapa dia lebih selesa mendiamkan diri. Katalah apapun, dia lebih rela diam dan mengunci mulut daripada bercerita hal peribadi. Itulah memang sifat semulajadinya.

Kesediaannya untuk muncul sebagai artis penghias muka depan sisipan Bintang Popular (B*Pop) minggu ini ada alasan yang tersendiri dan cukup penting. Ternyata, ia lebih kepada menghebahkan kepada masyarakat dan peminat mengenai kegiatan dan pergerakan kerjaya seninya yang terkini selepas sekian lama berehat dari pentas nyanyian arus perdana.

“Masa dan ketikanya cukup sesuai untuk Jee mencuba sesuatu yang lebih baru lebih-lebih lagi ia ada kena mengena dengan usaha mengembangkan kerjaya seni yang selama ini lebih tertumpu kepada nyanyian,” jelasnya yang kini mula berjinak dalam lakonan.

Dia akui, sudah dua tahun, syarikat Suhan Movies merisik penyanyi wanita yang cukup popular pada era 1990-an ini untuk terbabit dalam projek drama dan telemovie terbitan mereka.

“Ketika saya didekati abang Rosyam Nor (penerbit Suhan Movies), dia lebih kepada memberikan rasional dan juga penjelasan mengenai keperluan pembabitan saya di samping menjanjikan tunjuk ajar dan pendedahan secukupnya dalam bidang lakonan. Saya terima berlandaskan kepada hakikat bahawa saya tahu saya berada dalam kelompok insan seni yang betul,” katanya yang begitu menghargai setiap detik berada di lokasi penggambaran dua telemovie terbitan Suhan Movies - Kudrat Iman dan Gelora Di Hati Sarah.

“Acting is a lot of hardwork, memang bukan kerja yang mudah untuk dilunaskan. Saya begitu menghormati ketekunan, kesabaran dan ketelitian sutradara Bade Azmi dan warga kerjanya sewaktu penggambaran. Fokus paling utama kerana tanpa tumpuan, memang sukar untuk mencari mood dan penghayatan watak dan perwatakan,” tambah Jee yang bersyukur selain mendapat tunjuk ajar serta menimba pengalaman cukup berharga sepanjang berada di lokasi penggambaran, dia menjadi cukup akrab dengan barisan pelakon dan krew produksi.

Kudrat Iman yang turut dibintangi Rosyam, Wan Maimunah, Afida Es dan Ismail Yaacob disiarkan semalam (11 Oktober) menerusi RTM1, jam 8.30 malam. Dalam drama itu dia membawa watak utama sebagai gadis bernama Mahani yang menjadi tunangan kepada pemuda, Zainal tetapi mereka gagal untuk menaiki jenjang pelamin. Babak paling sukar baginya tentulah kerana banyak bermain emosi terutama adegan dia memarahi Mak Esah yang merampas tunangnya.

Selepas Kudrat Iman, penyanyi jelita yang cukup popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu dan Enggan ini akan muncul pula menerusi telefilem berjudul Gelora Di Hati Sarah. Kali ini, Jee membawa watak seorang peguam bernama Sarah yang terpaksa berkahwin senyap-senyap di luar negara. Dia akui tugas sebagai pelakon untuk watak berkenaan begitu berat kerana terpaksa bermain emosi dalaman dan kena bijak bermain dengan permainan air muka untyuk sesuaikan dengan keadaan yang tidak menentu.

“Memang kerja berlakon penat tetapi adalah tidak adil untuk saya merungut. Saya memang minat lagi untuk terus berlakon pada drama lain tetapi bergantung pada masa dan keadaan,” kata Jee.

Selain berkongsi pengalaman sebagai orang baru dalam dunia lakonan, pemilihan Federal Hotel Internationals (FHI) sebagai lokasi sesi fotografi bersama Jee sebenarnya mengundang nostalgia indah kepada penyanyi yang berstatus ibu tunggal ini.

“Inilah hotel ayah selalu bawa Jee jalan-jalan makan angin masa kanak-kanak dulu. Rasanya ketika itu usia Jee baru empat atau lima tahun,” ceritanya yang masih terkenang arwah bapanya yang sering menjadikan FHI sebagai tempat bertemu rakan-rakan lama dan membawa keluarga beristirehat.

FHI bagi Jee bukan sembarangan hotel. Premis yang sudah tersergam sejak sebelum merdeka itu menjadi saksi dan tempat berhimpun pejuang dan pemimpin tanah air sebelum menanti detik bersejarah 31 Ogos 1957, Tanah Melayu di isytiharkan negara merdeka dari sebarang penjajahan. Mungkin kerana itu jugalah hubungan Jee dengan FHI tidak pernah putus malah sering diundang untuk mengadakan persembahan istimewa seperti sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan ke-50, tahun lalu selain meraikan Minggu Setiausaha.

Masih dalam suasana sambutan Aidilfitri, Jee akui dia meraikan hari lebaran itu bersama dua anaknya secara sederhana di kampungnya di Johor.

Jee dan bekas suaminya yang juga ahli perniagaan, Johan Indot mendirikan rumah tangga pada 1997 dan bernikah di London. Mereka kini sudah bercerai dan hasil perkahwinan lalu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Jeffri Joaquim, 10, dan Jeremy Jay, 8.

“Syukur, anak-anak dapat beraya bersama Jee tahun ini, kami pulang ke kampung Jee di Johor dan sempat menziarahi sanak-saudara terdekat lain,” jelasnya yang lebih selesa berhari raya dalam suasana serba sederhana.

Nyata, biarpun kini hidup sendiri, Jee yang masih mahu merehatkan dulu kerjaya nyanyiannya buat sementara waktu tidak pernah melihat kegagalan rumah tangga sebagai penghalang untuknya terus bangkit dan meraih kejayaan dalam kehidupan. Mengenai jodoh, dia enggan lagi bercakap soal rumah tangga buat masa ini dan fokusnya hanya bertumpu pada karier dan mencari wang.

“Saya sedar dalam keadaan apapun, kita kena teruskan hidup,” katanya yang berkali-kali menolak untuk bercakap lebih lanjut mengenai hal peribadi termasuk soal cinta.

Fakta Menarik Jee

  • Penghibur Terbaik dalam Pesta Kingsway anjuran RTM pada 1989.

  • Biarpun pada zahirnya kelihatan lembut dan ayu, Jee cukup meminati sukan lasak seperti menyelam skuba, berkuda dan jet ski.

  • Perkahwinan pertama Jee dengan Syed Budriz pada 1992 berakhir dengan perceraian tiga tahun berikutnya.

  • Jee mendirikan rumah tangga kedua bersama ahli perniagaan, Johan Indot pada 19 Jun 1997 di London dan bercerai pada Mac 2007.

  • Hasil perkahwinan Jee dengan Johan, dikurniakan dua cahaya mata, Jeffri Joaquim, 10, dan Jeremy Jay, 8.


INFO: Jee

  • NAMA: Fauziah Latiff
  • USIA: 38 Tahun
  • TARIKH LAHIR: 5 Disember 1970
  • ASAL: Air Tawar, Perak
  • ALBUM: Album sulungnya, Digamit Memori muncul pada 1988 dan hingga kini, memiliki 17 album rakaman.
  • PENCAPAIAN: Penghibur Terbaik dalam Pesta Kingsway di RTM pada 1989.
•1988-1990 -

Top Five Most Popular Singer for 3 consecutive Years


Represented Malaysia in the 6th Asian Pop Song Festival in Manila

• 1989 ~ Won the Award for Fiesta Kingsway's Best Entertainer Of the Year

• 1991 ~ Best Female Entertainer of the Year

• 1992 ~ Best Female Entertainer of the Year

• 1993 ~ Best Entertainer and Best Song of the Year

• 1994 ~ Best Song of the Year (SBC) and Best Female Entertainer Of the Year

• 1995 ~ Represented Malaysia in Asean Music Festival - Fukuoka, Japan
Represented Malaysia in Asean Music Syndrome – Kyoto, Japan
Represented Malaysia in Asia Pop Queen Festival – Fukuoka, Japan
Represented Malaysia in Asia Big Adventure – Osaka, Japan
• 1996 ~ Represented Malaysia in Asia Song Festival in Bali

• Best Music Video (Sahabat), Anugerah Industri Muzik (AIM)

• Best Music Video (Sahabat) 1995 ~ 1996

• Best Director (Sahabat) 1995 ~ 1996

• Best Editing (Sahabat) 1995 ~ 1996

• Best Art Director (Sahabat) 1995 ~ 1996

• Best Photography (Sahabat) 1995 ~ 1996
  • DRAMA: Sitkom Lontong
  • TELEMOVIE: Kudrat Iman dan Gelora Di Hati Sarah
  • TEATER: Muzikal Rubiah
Sumber : Berita Harian

Jee Cemerlang Dalam Kudrat Iman

Telemovie Kudrat Iman yang baru ditonton pada 11 Oktober lalu memperlihatkan penampilan istimewa Jee digandingkan bersama Rosyam dan Wan Maimunah. Penampilan pertama Jee di dalam Kudrat Iman dilihat sebagai cemerlang kerana Jee mampu menghayati watak dengan sempurna. Memek muka ketika sedih, gembira dan karaktornya dapat dirasai penonton dan memberi kesan yang amat baik walaupun ini adalah telemovie berat bagi Jee.

Walaubagaimanapun, setiap kali Jee tampil dengan dialog yang terlalu sedikit dan adegan yang terlalu cepat. Jee seharusnya diberi peluang yang lebih untuk menunjukkan bakatnya dengan adegan atau suasana yang agak lama kerana penonton yakin Jee mampu pergi lebih jauh. Ini kerana slot penampilan Jee dilihat terlalu cepat dan ini menghilangkan feel penonton yang ghairah untuk menilai bakat lakonan Jee.

Bagi telemovie ini pula, ia dilihat seperti telemovie yang kekurangan kos atau "cut cost telemovie". Jalan cerita yang baik tetapi tidak digarap sempurna oleh pengarah kerana jalan cerita menjadi bosan setiap minit telemovie ini ditayangkan. Mesej juga tidak disampaikan dengan sempurna di mana penonton menjadi kurang faham apa yang ingin disampaikan pengarah. Adegan sedih perlu ditekankan lebih kerana ini sahaja yang boleh mengangkat telemovie ini menjadi lebih baik. Sebagai contoh kematian ibu Zainal, saat putus tunang Mahani dan Zainal serta penghabisan cerita pertemuan terakhir Mahani dan Zainal. Penghabisan cerita juga tampak tergantung dan kurang bisa di mana Mahani berkahwin dengan bekas bosnya Muin dan mempunyai seorang anak tetapi pulang ke kampung menaiki bas????? Dan apa sebabnya Zainal tidur di perhentian bas tersebut????

Telemovie mungkin ditonton sehingga tamat atas sebab Fauziah Latiff semata-mata. Ini kerana ini penampilan Jee buat julung kalinya selepas Lontong dan Rubiah. Jee membuat keputusan bijak untuk berlakon kerana Jee sememangnya mampu pergi jauh dan duduk sebaris dengan aktress terkenal. Bakat Jee perlu terus digilap kerana kualiti Jee sebagai pelakon juga berbeza dengan pelakon sedia ada.

Friday, October 10, 2008

Kudrat Iman : Erti Sebuah Kemaafan

PERKAHWINAN adalah ikatan penyatuan dua jiwa dalam melayari hari-hari bahagia sebagai pasangan suami isteri. Bagaimanapun, mampukah sesebuah mahligai perkahwinan bertahan andai kasih sayang yang terjalin hasil guna-guna dari ilmu hitam?

Kisah menarik yang membawa kepada keinsafan tersebut dipaparkan dalam telefilem khas Aidilfitri, Kudrat Iman yang bakal menjengah kaca televisyen anda di RTM1, Sabtu ini (11 Oktober 2008), pada pukul 8.30 malam.

Mengajak penonton menghayati bagaimana mahalnya erti sebuah kemaafan seorang suami akibat perbuatan keji si isteri yang sanggup menggunakan ilmu hitam demi menakluki perhatian dan cinta dari insan yang menjadi teman hidupnya itu.

Dengan membariskan nama pelakon hebat seperti Rosyam Nor dan Wan Maimunah sebagai tunjang utama, selain dijayakan oleh Afida Es, Ismail Yaakob dan Ummi Nazeera, Kudrat Iman yang mengisi slot Panggung Seri turut mempertaruhkan percubaan julung kalinya penyanyi jelita, Fauziah Latiff.

Diterbitkan oleh Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., telefilem tersebut mengisahkan kekhilafan seorang wanita tua bernama Esah yang menikahi seorang pemuda bernama Zainal berlandaskan ilmu hitam.

Perkahwinan tersebut menyebabkan ikatan pertunangan antara Zainal dan Mahani terpaksa diputuskan.

Akibat terlalu kecewa, Mak Som, ibu Zainal yang malu dengan tindak-tanduk anak lelakinya itu meninggal dunia.

Tanpa Zainal sedari, Esah yang merupakan seorang dukun dan jirannya telah mengenakan ilmu pengasih terhadapnya.

Demi menundukkan Zainal, Esah menggunakan nasi tangas (kangkang).

Sejak berkahwin, Zainal mula menikus dan mengikut telunjuk Esah. Pun begitu, apabila berdepan dengan Mahani, Zainal masih enggan melepaskan Mahani dan merayu agar Mahani bersabar.

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga ke tanah. Aktiviti khurafat serta tindak-tanduk Esah yang menyihir suaminya terpaksa dihentikan apabila menjelang Ramadan.

Memilih sehari sebelum tibanya Ramadan, Esah mengulangi sihir nasi tangas terhadap Zainal.

Namun, malang menimpa apabila kakinya tersandung tungku dapur, lalu jatuh tertiarap sehingga nasi dalam periuk jatuh berderai. Sejak hari itu, bermulalah episod duka bagi Esah.

Mahani yang jemu dengan janji-janji kosong Zainal menerima pinangan Muin dan bakal disatukan selepas hari raya.

Desas-desus Zainal terkena buatan Esah semakin menular di kalangan kakitangan di pejabat tetapi disangkal oleh Zainal lalu menuduh Mahani yang menyebarkan fitnah tersebut.

Suatu hari, ketika sedang membersihkan rumah, Zainal menemui kitab pedukunan dan sihir nasi tangas yang disimpan oleh Esah.

Zainal yang berang dengan perbuatan Esah, menuduhnya sebagai derhaka dan patut diceraikan.

Sejak terpisah dengan ilmu pedukunan, Esah semakin teruk. Suhu badan panas dan kulitnya berubah menjadi hitam. Kerana kasihan, Zainal mengambil keputusan memelihara Esah.

Masihkah ada peluang untuk Esah bertaubat dan bagaimana pula kesudahan hubungan Mahani dan Zainal setelah Mahani membuat keputusan meneruskan perkahwinannya dengan Muin?

Pastikan anda menonton telemovie ini untuk mengetahui kesudahannya?

Sumber: Utusan Malaysia

Wednesday, October 8, 2008

Jee Diterima Sebagai Aktress

Selama sebulan rasanya poll ini saya terbitkan khas untuk peminat Jee untuk mengundi sama ada perlukan Jee menjadi pelakon atau aktres di Malaysia. Walaupun hanya terdapat 22 undi, saya tetap berterima kasih kepada pengundi yang juga dikategorikan peminat Jee sepanjang zaman. Baiklah, skala undian saya wakilkan 1 mewakili 1 Juta penonton yang akan menyaksikan Jee mempamerkan bakat lakonannya. Jadi 22 undi mewakili 22 Juta rakyat Malaysia la yer. skala undian menjadi 1 : 1 Juta.

Dari segi peratus, majoriri (15/22) peminat Jee amat menyokong Jee untuk menjadi primadona drama dan filem di Malaysia. Ini mungkin kerana peminat setia Jee sentiasa inginkan idola mereka berada di mata mereka tidak kira Jee menghibur sebagai penyanyi mahupun pelakon. Peminat mahukan Jee selalu di mata mereka kerana Jee pengubat duka lara mereka.. Cheeewwaahh!!!

2 undian menyokong dan 2 neutral juga menjelaskan bahawa Jee tetap di hati rakyat Malaysia. Jadi tidak sia-sia Jee memutuskan untuk menceburi bidang lakonan. Jee harus berbangga kerana dari 22 undian hanya 3 yang membantah. Jadi hampi 87% undian mahukan Jee terus berada di layar TV mahupun di layar Perak. Jadi Jee tidak perlu risau penerimaan peminatnya kerana peminatnya sentiasa terus dibelakang beliau. Teruskan usaha Jee!!!

Bagi 3 undian yang membantah, saya melihat dari segi positif. Bukan mereka tidak mahukan Jee berlakon, tetapi mereka memerlukan Jee sebagai penyanyi. Mereka tidak mahu fokus Jee terhadap lakonan membataskan dan mengurangkan aktiviti Jee untuk terus berkarya menghiburkan peminat setianya dengan lagu-lagu baru yang malar segar. Jadi, tidak kira jee berlakon atau terus menyanyi, Jee tetap di hati peminatnya.

Saturday, October 4, 2008

Sepi Seorang Jee

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

TAHUN ini masuk tahun kedua, selebriti terkenal Fauziah Latiff atau lebih mesra disapa sebagai Jee ini merayakan Aidilfitri sebagai ibu tunggal sejak perkahwinan kali keduanya runtuh tahun lalu.

Kini bekas isteri kepada Johan Indot, 47, dan ibu kepada Jeffry Joaquim Indot, 9, dan Jeremy Jay Indot, 6, ini tetap meraikan lebaran seperti insan lain walaupun tidak lagi bertemankan suami di sisi setelah 10 tahun hidup bersama Johan.

Apabila diminta untuk berkongsi cerita mengenai keluarga, wanita ini menegaskan dia tidak mahu berkata banyak tentang perihal keluarga.

Namun, dia tetap berkongsi sedikit kenangannya berhari raya bersama anak-anak yang merupakan permata hati yang tiada tolok bandingnya.

Menurut Jee, anak-anak merupakan kekuatan dirinya untuk terus berdiri kukuh dalam mengharungi hari yang penuh berliku suatu ketika dulu dan menceriakannya ketika Hari Raya menjelma tiba.

“Raya saya biasa saja, tiada yang bezanya cuma bagi saya anak-anak gembira cukuplah, mereka yang paling utama buat saya. Persiapan yang dilakukan juga semuanya untuk mereka.

“Saya pakai baju tahun lalu pun tidak apa, sebab banyak lagi baju yang masih elok dan belum dipakai, buat apa membazir. Cuma saya ada membeli sedikit kuih raya saja,” tuturnya lagi.


Meskipun sibuk bekerja, Jee juga seperti ibu yang lain, selain mengemas rumah dan menyediakan keperluan anak-anak, dia juga tidak kekok untuk turun ke dapur memasak makanan kegemaran kedua-dua anaknya sempena raya.

“Mereka sangat suka ketupat dan masak lodeh. Kalau makanan itu ada atas meja, memang mereka makan penuh semangat, itu yang seronok sangat,” ujarnya lagi.

Sungguhpun begitu, Jee tetap bersyukur kerana dia dan bekas suami masih lagi berbaik demi anak-anak, dan sebagai ibu bapa, mereka berdua menjaga Jeffry dan Jeremy mengikut giliran.

“Saya tidak mahu penceraian menjejaskan anak-anak, mereka sihat, pergi sekolah macam biasa, jadi raya kali ini pun begitu juga.

“Rancangan beraya masih belum ada lagi, kalau tidak ada aral melintang saya akan bawa mereka pulang berhari raya di kampung saya di Johor dan selepas itu berkemungkinan membawa emak saya untuk bercuti sekali.

“Macam tahun lepas, malam raya mereka bersama saya, sibuklah buat persiapan bersama, dan pada keesokan harinya mereka akan beraya bersama bapa mereka pula. Tahun ini memang saya tidak tahu macam mana, semua melihat pada keadaan dulu,” katanya lagi yang enggan mengulas lanjut.

Cinta mula berputik

Apabila beralih topik kepada teman hidup, Jee yang masih jelita pada usia 37 tahun ini pada mulanya terdiam sejenak lalu berkata: “Saya tidak terfikir lagi tentang perkara itu. Kawan-kawan saya ramai, tetapi yang istimewa itu belum ada lagi.

“Asalkan saya gembira dan bahagia dengan hidup seperti sekarang ini sudah memadai. Mungkin nasib orang lain lebih teruk daripada saya, siapa tahu, jadi saya bersyukur sangat dengan apa saya miliki.

“Kalau ada jodoh adalah, kalau tidak pun saya cukup bahagia sekarang ini, kerana fokus saya hanya pada bidang lakonan yang baru saya ceburi dan kerja saya sebagai anak seni,” ucapnya jujur.

Tidak gusar jika selepas ini namanya lebih dikenali sebagai pelakon berbanding penyanyi oleh peminat hiburan generasi baru, Jee mengakui cintanya terhadap dunia lakonan sudah mula berputik.

Sudah berada dalam bidang nyanyian lebih 20 tahun, Jee memberitahu dia kini sedang merehatkan diri sebagai penyanyi kerana mahu memberikan lebih fokus terhadap lakonan.

Ini terbukti daripada penglibatannya dalam beberapa produksi drama terbitan aktor Rosyam Nor seperti, Gelora Di Hati Sarah dan Kudrat Iman yang ditayangkan bermula 11 Oktober ini.

“Saya sudah kecapi apa yang seorang penyanyi mahukan, rasanya lebih 20 tahun, jadi sekarang ini saya mahu berehat buat sementara dan tumpukan dalam bidang lakonan dulu.


“Ini kerana bidang lakonan menuntut komitmen yang lebih disebabkan saya merupakan pelakon yang sangat baru dan banyak benda yang saya kena belajar lagi,” katanya merendah diri.

Ditebak, mungkinkah keputusannya ini saling berkait dengan dakwaan-dakwaan yang mengatakan dia tidak lagi boleh menyanyi secara langsung.

Dengan tenang wanita penuh karisma ini menjawab: “Keputusan yang dibuat tidak ada kena mengena dengan gosip itu, lagipun memang sudah lama saya buat keputusan untuk berehat seketika daripada nyanyian.

“Saya tidak kisah apa pandangan serta komen orang tentang saya kerana mereka berhak untuk bersuara, saya terima dengan hati yang terbuka dan positif,” luahnya tanpa sedikit pun tanda amarah dalam diri.

Terpulang kepada Tuhan

Jika diteliti dengan mendalam, nama besar seperti Jee yang terjun ke bidang lakonan pastinya tidak sukar untuk meraih perhatian khalayak.

Apatah lagi, bakat lakonannya turut mendapat pujian daripada Rosyam Nor sendiri yang menyifatkan Jee seorang pelakon yang serba boleh apabila Rosyam sendiri bergandingan dengannya dalam drama Gelora Di Hati Sarah.

“Entahlah, saya cuba buat sehabis baik dan menuntut sebanyak ilmu daripada mereka yang lebih senior daripada saya, walaupun tidak sempurna tetapi saya ingin cuba.

“Saya akui, mula-mula sangat kaku, takut dan malu, tetapi lama-kelamaan bila saya sudah serasi dengan krew, perasaan malu itu hilang tiba-tiba,” jelasnya tentang pengalamannya sebagai pelakon baru.

Ditebak lagi, mungkinkah bidang lakonan menjadi sumber utamanya sebagai pintu rezeki selepas ini, Jee bagaimanapun menjawab perkara itu adalah diluar kawalannya.

“Tentang rezeki, saya tidak berani untuk menjawabnya, semuanya terpulang pada Tuhan, walaupun saya berlakon tidak bermakna saya akan kuburkan terus bidang nyanyian.

“Memang ada perancangan untuk hasilkan album baru, tetapi seperti yang saya katakan, sekarang ini saya sedang berehat daripada menyanyi, tunggulah tengok macam mana, harap peminat bersabar dan boleh terima saya sebagai pelakon pula,” luahnya yang popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ini minta dimengerti.

Sebelum mengakhiri bicara, Jee sempat menyatakan penghargaannya buat peminat yang sentiasa menyokongnya daripada awal penglibatannya dalam bidang seni yang bermula pada tahun 1985.

“Apa yang saya tahu, tanpa peminat, siapalah saya, lagipun sekarang ini saya bukan muda lagi, zaman saya sudah berlalu, tetapi masih ada yang menyokong, itu satu penghormatan buat saya.

“Pada lebaran ini, saya harap semua menyambutnya dengan penuh gembira,” tuturnya sambil mengukir senyuman manis di bibir.

Sumber: Kosmo

Thursday, October 2, 2008

Jee teruja menantikan Syawal kali ini

Oleh WAHIDA ASRANI

SETELAH kehilangan bapa tersayang Sheikh Abdul Latiff Omar beberapa tahun lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ini kebiasaannya akan menyambut Aidilfitri dalam keadaan yang sederhana saja.

Aidilfitri tahun ini juga tidak ada bezanya buat Fauziah Latiff yang lebih mesra disapa Jee ini. Setelah kembali hidup 'solo' sejak setahun setengah yang lalu, Jee bersama dua orang anaknya, Jeffri Joaquim Indot, 9, dan Jeremy Jay Indot, 7 tetap akan pulang ke Johor Bahru untuk meraikan Syawal bersama ibunya.

Malah, menurut penyanyi berusia 38 tahun ini, dia juga merancang untuk membawa ibu dan anak-anaknya bercuti ketika raya nanti untuk menghabiskan masa bersama insan-insan tersayang di dalam hidupnya.

Apapun, ada satu perkara lagi yang cukup 'menggusarkan' Jee sempena Syawal kali ini.

Masakan tidak, buat pertama kali bakat lakonannya akan dinilai oleh penonton menerusi telemovie Kudrat Iman yang akan ditayangkan di saluran RTM1 pada 11 Oktober nanti.

Akui risau dengan respon ramai, Jee bagaimanapun tidak menafikan turut teruja untuk melihat sendiri komen peminat khususnya terhadap lakonannya itu, apatah lagi selama 22 tahun bergelumang sebagai anak seni, Jee hanya pernah muncul dalam teater Rubiah dan program komedi arahan Azwan Ali, Lontong beberapa tahun yang lalu.

Selepas itu, penyanyi jelita ini dilihat lebih selesa meneruskan karier nyanyiannya meskipun tawaran lakonan sentiasa menghambat dirinya. Sehinggalah Suhan Movies & Trading Sdn Bhd milik aktor popular Rosyam Nor 'melamar' Jee untuk membintangi beberapa buah drama mereka baru-baru ini, wanita ini akhirnya terbuka hati untuk mencuba.

Mengulas lanjut tentang pengalamannya berlakon, kata Jee, dia akui perasaan kekok dan malu memang tidak dapat dihindari dalam dirinya tatkala pertama kali berada di set lokasi Kudrat Iman pada pertengahan Ogos lalu, yang merupakan arahan Bade Azmi.

"Apa yang lebih merisaukan saya pada waktu itu ialah kerana pelakon-pelakon yang terlibat bukan calang-calang. Selain Rosyam, saya perlu berlakon bersama Wan Maimunah yang kita semua sedia maklum tentang bakatnya yang hebat.

"Tetapi, dari situ saya cuba kutip sedikit demi sedikit ilmu dan pengalaman bekerja dengan mereka memang cukup menarik. Dapat melihat sendiri bagaimana cara sesebuah produksi bekerja membuatkan saya lebih menghargai tugas krew dan pelakon kerana baru saya sedar bukan mudah untuk menghasilkan drama.

"Tentang lakonan saya, sukar untuk saya jelaskan sendiri. Terserahlah kepada penonton kelak untuk menilai. Bagi diri saya sendiri, saya sudah bersedia untuk sebarang kritikan kerana saya sedar saya tidak ada asas di dalam bidang ini," tutur Jee.

Bukan hanya menerusi Kudrat Iman saja, lakonan Jee juga boleh dilihat menerusi drama bersiri 26 episod, Gelora Hati Sara yang juga bakal disiarkan di RTM1 tidak lama lagi.

Drama tersebut turut menampilkan Rosyam Nor sebagai pelakon utamanya serta beberapa pelakon handalan lain seperti Datuk Rahim Razali, Aida Radzwill dan Watie Elite

Jee yang baru saja tamat menjalani penggambaran drama bersiri tersebut baru-baru ini akui, bukan mudah untuk dirinya berlakon di dalam dua buah drama sekaligus dalam masa dua bulan.

Selain kurangnya pengalaman, dia juga terpaksa cuba membiasakan diri dengan rutin harian sebagai pelakon yang adakalanya perlu berada di lokasi penggambaran seawal pukul 7 pagi.

"Itu satu pengalaman yang baru buat saya, tetapi saya tidak pernah complaint. Kalau nak kata penat tu, memanglah penat apatah lagi penggambaran dijalankan ketika bulan puasa. Bukan saja saya, semua krew juga sudah tentu penat.

"Tetapi saya akui pengalaman yang saya dapat ini amat menyeronokkan. Apa yang paling mencabar ialah untuk menghayati watak saya. Karektor saya memang berbeza di dalam kedua-dua buah drama itu.

"Di dalam Kudrat Iman, saya membawakan watak Mahani, tunang kepada Rosyam. Watak tersebut memerlukan saya banyak bermain dengan emosi. Di dalam Gelora Hati Sara, watak Sara yang saya bawakan itu lebih kepada pelbagai karektor.

"Drama ini secara ringkasnya mengisahkan Sara yang berkahwin dengan Asrul (Rosyam) di luar negara tanpa pengetahun keluarga. Setelah pulang ke Malaysia pelbagai konflik timbul dan disitulah saya perlu menjiwai watak saya dalam pelbagai mood," kata Jee.

Ditanya tentang tawaran lakonan yang lain, ujar Jee, dia ada mendapat projek lakonan lagi daripada Suhan Movies, namun semuanya masih lagi dalam perbincangan lanjut.

"Rosyam ada tawarkan lagi berlakon. Tetapi tak tahulah lagi macam mana... saya pun bukannya nak terus jadi pelakon selepas ini. Saya terima lamaran Rosyam pun kerana memang kena pada masanya memandangkan saya ketika ini sedang 'berehat' dulu dari bidang nyanyian.

"Apapun, fokus saya tetap pada nyanyian. Undangan persembahan masih banyak yang saya terima, cuma belum terfikir untuk menghasilkan album baru saja lagi," kata penyanyi ini lagi.

Sumber: Mstar.com.my