Monday, June 23, 2008

My First Interview : RHB Bank


20 June 2008, aku gi interview kat RHB Bank City Square JB as a Marketing Executive RHB Islamic... nervous, confident semua bercampur baur... tapi aku redah jer... peduli aper kan... pada yang kenal aku... ni la perangai aku.. tak takut.. cume buat yang terbaik jer atas aper yang aku buat.... dapat tak dapat tu blakang kira sebab masa ibnterview tu die kata nanti training kat Batu Pahat for 2 month and then baru la transfer kat JB tapi untuk confirm amik masa 3 bulan.. kene buat sales 1.5 million... giler aper.. baik aku wat sales untuk syarikat aku ker untuk 1.5 milion for one month and maintain it every month... adusss.. dengan experience yang dah tentu kosong nie.. mampu ker?? ni yang aku tertanya2 tuh....

Sunday, June 8, 2008

Fauziah Latiff : Jee Selepas Setahun


MENERUSKAN kehidupan sebagai wanita yang lebih matang dan mensyukuri setiap saat yang dilalui, begitulah ibaratnya Jee pada hari ini.

Menghargai setiap momen yang pernah singgah dalam hidupnya, tidak pernah terlintas rasa kesal terhadap apa juga yang pernah dilalui, baik manis bak madu mahupun pahit umpama hempedu.

Malah pengalaman-pengalaman itu sebenarnya membuatkan dirinya menjadi lebih kuat dan tabah mengharungi hari-harinya sementelah Tuhan itu telah mengatur kehidupan setiap umat-Nya dengan cara paling baik dan paling indah.

Jadi mengapa perlu kita menyesali setiap yang terjadi kerana kata Jee, pada setiap kehidupan insan pasti ada pasang surutnya juga ada bahagia dan dukanya yang sememangnya diturunkan dengan hikmah untuk menjadi kita lebih tabah.

“Itulah kehidupan. Semalam kita kecundang, hari ini kita bangun dan esok kita melalui sesuatu yang baru. Kita melalui fasa belajar dan jatuh pada setiap kehidupan. Itu fitrahnya,” ungkap Jee lewat pertemuan dengannya baru-baru ini.

Memang Jee hari ini semakin matang mengharungi kehidupannya. Itu diakui sendiri empunya diri yang kelihatan lembut pada zahirnya tetapi amat menggemari aktiviti lasak dan mengembara ini.

Tutur kata yang masih gemalai sejak mengenalinya sedekad lalu namun pada setiap patah katanya hari ini membawa makna mendalam terhadap falsafahnya tentang erti sebuah kehidupan

Pernah melalui dua perkahwinan yang kedua-duanya menemui kegagalan, mungkin bagi seorang artis yang menjadi tumpuan khalayak, banyak yang perlu ditelan. Pahit tentunya lebih banyak kerana diri yang dikenali ramai harus berdepan dengan kata-kata dan pandangan orang terhadap diri, baik yang negatif mahupun positif.

Dan melihat dirinya yang masih terus senyum dan melalui hari-harinya penuh bahagia kini, hati tertanya-tanya, tidakkah ada secalit pun kesedihan yang dirasainya walaupun kehidupan berumah tangga kali keduanya yang dibina juga kecundang di tengah jalan pada tahun lalu.

Dalam ketenangan wajah dan nada yang dipamerkan, Jee mengakui perasaannya seperti juga orang lain yang pernah melalui saat-saat berduka akibat kecewa.

“Tipulah kalau tak ada rasa sedih. Mula-mula memang tapi akhirnya kita akur sampai bila kita mahu bersedih? Kita perlu ingat, ada manusia yang lebih teruk diuji. Jadi semua itu membuatkan saya berfikir, kita seharusnya bersyukur dengan apa yang kita ada. Pengalaman masa lalu dijadikan tauladan untuk kita membina masa depan,” ujarnya.

Dan selepas setahun bersendirian setelah istana cinta kedua yang dibina bersama Johan Indot roboh, Jee yang memiliki dua cahaya mata sepanjang perkahwinannya itu - Jeffri Joaquim, 10, dan Jeremy Jay, 8 - mengakui kehidupan masa kini cukup sempurna kerana semua yang diingininya ada di depan mata.

“Apa lagi yang ingin diminta? Saya ada anak-anak yang disayangi, ada bumbung untuk berteduh dan kereta kecil untuk bekerja. Apa yang saya harapkan dapat menguruskan kehidupan lebih baik di masa hadapan.

“Segala pengalaman sepanjang perjalanan kehidupan ini memberi satu persepsi baru supaya lebih memahami dan lebih menghargai kehidupan.

“Apa yang penting hari ini kita tidur dan bersyukur kepada Tuhan kerana semuanya berjalan lancar dan berdoa sebelum tidur agar kita masih hidup untuk meneruskan kehidupan.

“Kita patut berterima kasih kepada Tuhan yang masih memberi nyawa, masih ada lagi tenaga,” kata Jee yang menganggap hidup solo bukan satu isu besar.

Tidak pernah menyalahkan takdir, ia juga tidak pernah membuatkan wanita berwajah lembut ini berputus asa malah mengakui walaupun bukan mudah melaluinya namun ia tetap perlu dilalui dan akhirnya belajar untuk menerima.

Menyenangi kehidupannya hari ini, dia juga tidak mahu memikirkan soal remeh temeh terutama hal berkaitan pasangan hidup baru namun mengakui tetap bersikap terbuka dalam memikirkan soal hidup berdua.

Kerana kata wanita bernama penuh Fauziah Latiff ini, siapalah dirinya untuk menentukan takdir dan ketentuan hidupnya selain Tuhan yang Maha Esa.

“Kita tidak mampu menjangkakan masa depan. Hari ini kita kata tak mahu, mana tahu esok bertemu jodoh. Jadi siapalah kita untuk sama ada menyatakan ya atau tidak kepada soalan itu kerana ia adalah tentang qada dan qadar-Nya,” pintas Jee.

Bukan menyesal jauh sekali serik mendirikan rumah tangga tetapi kata Jee, apa yang diingininya sekarang adalah untuk terus bahagia.

Bukan sahaja untuk dirinya tetapi untuk bersama anak-anak yang merupakan permata yang amat disayanginya di samping terus dapat melakukan aktiviti lasak yang diminatinya.

“Isu peribadi letak ke tepi. Kalau ada, ada... Kalau tak, tak apa,” katanya tanpa ragu.

Malah kata Jee, dengan pengalaman- pengalaman hidup yang dilalui itu juga telah menjadikan dirinya seorang yang lebih tenang kini. “Asalkan jangan ganggu keluarga saya,” tambahnya.

Senang melalui hari-harinya bersama anak dan aktiviti lasaknya, kata Jee, dia mahu lupakan bidang seninya buat seketika. Bukan melupakan terus. Sebaliknya mengehadkan aktiviti seninya.

Buat masa ini, Jee memberitahu mahu memuaskan kehendak diri sendiri selepas puas bekerja sejak usianya 16 tahun lagi.

“Saya perlukan masa untuk diri juga,” katanya menongkah persoalan dan pada usianya kini, ungkap Jee, inilah peluangnya untuk melakukan apa yang diingini dan disukai. Pada ketika kudratnya masih ada.

Melakukan aktiviti bersama anak-anak di samping menghabiskan masanya dengan aktiviti luarnya yang selama ini memang dikenali menggemari jet ski, menyelam dan terkini, bermotosikal berkuasa besar, justeru bukanlah sesuatu yang menghairankan andai dia kini semakin jarang kelihatan di khalayak menghiburkan peminat.

Menyenangi kehidupan di laut, di jalanan mahupun di hutan belantara, Jee mengakui tetap menerima tawaran menyanyi pada majlis tertutup atau majlis makan malam sekali dua dalam sebulan.

Malah pada ketika artikel ini ditulis, Jee sedang berada di Tasik Banding, Perak untuk menyelongkar khazanah alam bersama Dr. Fazley Yaacob dan rakannya yang dikenali sebagai Jenny menjayakan rakaman program 3 Hari 2 Malam bagi tayangan di TV9.

Berakit, memasak bersama Orang Asli, menyaksikan flora dan fauna antaranya spesies bunga terbesar di dunia, rafflesia, selain kali pertama memasuki hutan dan menjejaki Hutan Royal Belum bukan sahaja memberikan satu pengalaman baru malah membuatkannya lebih mensyukuri ciptaan Tuhan yang Maha Agung.

“Ia memang meletihkan tapi amat menyeronokkan. Sesuatu pengalaman yang amat saya hargai,” katanya ketika dihubungi.

Naik jet ski, juga berlumba pada satu ketika dahulu, aktiviti itu kini dikurangkan dan kini masanya lebih banyak dihabiskan dengan menunggang motosikal besar, satu hobi baru yang diminatinya sejak kecil selain menyelam.

Juga sesekali melakukan rock climbing, Jee yang juga menggemari kickboxing mengakui seronok memperoleh pengetahuan baru dalam kehidupannya menerusi pengembaraan.

“Jet ski, saya tidak pernah bosan dengannya cuma telah agak lama ditinggalkan tetapi mencari semula momentumnya. Bermotosikal pula baru nak berjinak-jinak. Belum berani bawa laju dan hanya menjelajah ke daerah sekitar antaranya Putrajaya dan Melaka,” jelas Jee.

Menganggap membeli belah yang menjadi antara terapi terbaik seorang wanita untuk meredakan tekanan bukan lagi menjadi kesukaannya, tidak juga menjadi satu kepentingan kepadanya.

Ini kerana kata wanita bertubuh kecil ini, dia telah melalui zaman keseronokan yang satu ini pada ketika menjadi seorang anak muda.

Bagi Jee, pada usia dan pemikirannya yang matang ini, dia lebih senang membelanjakan wangnya kepada sesuatu yang lebih berfaedah.

Dan tentu sekali pilihannya adalah berbelanja untuk mengembara. Tidak kira menyelam, bermotosikal mahupun aktiviti lain.

Pada wanita ini, minatnya itu tidak sahaja mencetuskan satu perasaan baru dalam menghargai alam dan kehidupan di dalamnya malah membuatkannya menikmati erti kesyukuran yang sebenar.

“Pada usia ini, anda sebenarnya tidak lagi memikirkan soal baju, kasut atau seluar dan bercantik-cantik sahaja. Sebab kita dah ada semua itu. Pernah buat semua itu. Apa lagi yang kita nak?

“Saya akui, sikap saya telah bertukar. Saya mengambil kira untuk membelanjakan wang saya ke arah mana. Apa faedah yang saya dapat dengan perbelanjaan yang saya lakukan.

“Aktiviti seperti menyelam memberikan anda keuntungan rohani dan jasmani. Anda membayar untuk menyelam yang juga merupakan satu riadah dan dalam masa yang sama memperoleh pengalaman baru dan berlainan pada setiap perjalanannya.

“Anda tidak hanya lepak-lepak dan berseronok tetapi juga sebenarnya berkongsi banyak perkara tentang kehidupan.

“Dan itulah harga yang saya sanggup bayar untuk kepuasan diri pada hari ini. Soal kecantikan diri, ia perlu tetapi bukan lagi keutamaan,” ujarnya.

Dan sebagai ahli jawatankuasa Persatuan Pemuliharaan Terumbu Karang Malaysia (Coral Malaysia), ketika ini, kata Jee, dia sibuk bersama-sama persatuan itu menganjurkan beberapa projek antaranya pertandingan merakam foto dalam laut, Terengganu Go-Green: Seashutterbug 2008 pada akhir bulan ini.

“Ketika ini, saya tolak ke tepi dulu soal album. Mahu bebaskan diri buat sementara waktu,” katanya sambil ketawa.

Katanya lagi, sejak memulakan aktiviti menyelam juga telah memberinya satu perspektif baru dalam pengembaraan diri. Terutama dalam mencari ilmu dan meningkatkan kemahiran diri.

Ini kerana bagi Jee, pengalaman yang dikutip itu bukan sahaja amat berharga malah akan menjadi momen indah yang akan diingati sepanjang hayat yang mahu dikongsi bersama anak-anaknya

“10 tahun lagi, saya mahu tersenyum mengingatkan kenangan-kenangan itu dan saya mahu duduk santai dengan anak-anak sambil bercerita pengalaman saya,” tambahnya.

Dan tidak hairanlah jika Jee sendiri amat mendorong anak-anaknya untuk bersama-samanya menyertai aktiviti luar agar kesempatan itu tidak sahaja mengeratkan lagi hubungan mereka.

Lebih penting, kata Jee, agar satu hari nanti apabila anak-anaknya membesar, mereka mampu berdikari, “Kerana merekalah harta saya dunia akhirat.”


Utusan Malaysia : 8 Jun 2008

Thursday, June 5, 2008

Petrol Naik Harga??? : Berbaloi atau tidak?

Harga Petrol naik dengan kadar paling tertinggi iaitu kenaikan 78 sen seliter. Meski kenaikan ini dilihat tidak wajar, adakah kita mengira secara angka di mana ia membawa kebaikan atau tidak? Tentu tidakkan? Saya cukup yakin, ramai yang menyumpah berbakul-bakul kepada pemimpin kita. Huh.. jangan begitu.. Ini kerana sebelum kita mengherdik, JOM kita kira berbaloikah nilai subsidi RM625 kepada pengguna kereta bawah 2000cc dan RM150 kepada pengguna motosikal.

Kesimpulannya, subsidi RM625 adalah berbaloi jika purata penggunaan petrol bulanan anda ada kurang daripada RM128 sebulan. Kepada mereka yang menggunaakan petrol lebih maka anda perlu buat tambahan pembayaran.

Berikut adalah bayaran tambahan bulanan berdasarkan harga sebelum kenaikan iaitu RM1.92 sen seliter jika penggunaan petrol dengan purata :
RM150 sebulan = RM8.83
RM180 sebulan = RM21.08
RM200 sebulan = RM29.16
RM250 sebulan = RM49.50
RM300 sebulan = RM69.83